Rabu, November 25, 2009

[Bosan Lampau 07] Inilah Kehidupan Bosan Lampau.

Zaman urbanasasi serba moden, konon-kononlah. Setiap orang ada alat nak hilangkan bosan.

Paling cikai, telefon bimbit. Main cantum-cantum jadi ular panjang. Main sudoku.

Up sikit, iPhone & Blackberry. Up up sikit, PSP. Banyak untuk disenaraikan.

A Day In The Life from Harry Nesbitt on Vimeo.



Apa yang aku ada adalah sejenis komputer riba yang boleh dibawa ke mana-mana, tapi belum cuba untuk di bawa ke tandas ketika membuang air besar. Cari nahaslah, andaikata terpalit pada tahi buangan sendiri.

Aku pernah melalui pengalaman macam watak animasi dalam video itu.

Bangun, komputer. Tidur. Lipat baju. Makan. Komputer. Komputer. Komputer. Main gitar.

Tapi ikut situasi sekarang, abaikan part main gitar itu. Aku dah lama tak praktis nak main. Aku masih menyimpan harapan untuk bermain lagu 'More Than Word' sehingga habis.


Dan, ketika aku mengalami kehidupan sebegitu (komputer, komputer, komputer), akhirnya terciptalah blog yang sedang dibaca ini, "Kebosanan Mencipta Kelainan".

PS: Aku sekarang lebih sihat, hidup tanpa internet.

Kebosanan mencipta kelainan.

Selasa, November 24, 2009

C Cup, Tinggi dan Loser. (Tajuk lapuk dan bosan)

Benda ni dah lama kecoh pun. Aku pun selalu baca komen orang Korea kat Youtube, nak tahu gak pandangan mereka macam mana. Ha, baru kau tahu. Gadis-gadis sama bangsa kau mempunyai citarasa yang tinggi terhadap lelaki.

Lelaki pendek, OUT!!!.

"It's Me, A-Ma-Re!"

Lelaki ini baik, berharta, charming, hensem tapi pendek. Loser gak?


Semalam, aku ikut kelab (aku pun tak ingat nama apa). Tapi, kelab yang ditubuhkan untuk orang-orang yang rasa segan silu hendak berbahasa lain, terutama Inggeris. Aku ikut kelab ini, sebab nak cari lebih ramai 'social networking'. Pelajar yang join, bukan saja dari bangunan yang sama. Ada yang datang dari bahagian Kejururawatan (jururawat=lawa kan?), budak-budak bisnes, pelajar bahasa Sepanyol atau Jepun dan sebagainya.

Kiranya, agak bersimpang siur.

Lagi satu aku ikut serta, aku nak mantapkan bahasa Korea aku. Banyak gak vocabulary yang budak remaja pakai aku tak tahu. Biasanya, aku faham vocab seharian, macam makan, minum, tidur. Biasa. Nak juga belajar mencarut bahasa lain yang jarang keluar kat drama-drama.


Untuk maklumat lanjut, pasal lelaki loser ni.



OK, semalam tiada golongan wanita yang ikut serta. Dan juga, semalam kami buka topik pasal 'A man below 180 cm, is a Loser!'. Walaupun aku agak macam tajuk ini dah hambar (sebab selalu sangat baca komen orang dalam Youtube), nak tak nak dengarlah juga. Akhirnya, aku dapat dengar komen yang paling best!

"...Pertama kali dengar dia cakap lelaki pendek adalah 'loser', memang nak lempang saja muka wanita itu. Saya mengaku yang saya loser. OK. Tapi, saya tengok balik rancangan itu. Saya usha dada dia (dia menggunakan 'woman chest', tapi dibetulkan agar lebih menarik, boobs atau breast). Saya tengok dada dia, bukanlah saiz C Cup pun. Saya anggap dia loser, sebab buah dada dia bukan saiz C Cup. Dia loser, saya loser. Kiranya ada keadilan disitu..."

Selepas dia habis cakap, dia mendapat tepukan gemuruh dari lelaki-lelaki Korea yang lain.

Cakap dia memang betul. Wanita nak lelaki yang mempunyai ketinggian. Lagipun, rancangan itu bertanyakan tentang pendapat wanita tentang lelaki impian. Mungkin, sepatutnya sebagai tindakan reaksi balas, maka perlu juga diwujudkan rancangan bertanyakan tentang pendapat lelaki terhadap wanita.

...mungkin, kalau aku akan cadangkan nama budak yang sama kelab dengan aku ni. Dia patut cakap depan TV...

"Perempuan yang bukan saiz C Cup, dia loser."


Lelaki Korea kononnya tercabar sebab di panggil loser. Kamonlah, itu hanya pendapat mereka saja. Kamu pun boleh buat penyataan berani begitu kalau nak populariti murahan.

PS: Lelaki yang bagi komen tadi, minat Han Ga In yang sudah lama berkahwin. Sebab apa? Dia suka wanita yang mempunyai saiz buah dada...C!

Kebosanan mencipta kelainan.

Isnin, November 23, 2009

Kisah bagaimana mula membenci Pengawas.

Kalau kita mengikut garisan kehidupan manusia sekarang, kita akan melalui fasa-fasa ini:

Tadika, Sekolah Rendah, Sekolah, Menengah, Universiti.


Someday.


Mungkin ada yang lebih cerdik pandai, masuk pra tadika.

Lepas itu, membuatkan aku rasa fed-up dengan beberapa orang, "Tengok budak ini, baru umur 4 tahun dah reti membaca!". Memanglah, andaikata aku disogok kalau aku pandai membaca suratkhabar dapat robot Transformer, aku pun nak pandai membaca pada usia muda. Aku tengok golongan muda bawah aku (aku dah masuk golongan hampir tua), mereka segalanya senang. Nak pandai membaca ada banyak sistem. Sistem membaca Anakku, Cahayaku yang telah di evolusikan dengan pelbagai rima-rima pelik dan mimik muka untuk mengajar membaca.

Aku dulu diajar bulat-bulat. A adalah A, bukan bunyi seperti singa menganga. Contoh. B adalah B. C adalah C. Semudah itu, aku merangkak ke peringkat seterusnya.

Bila masuk sekolah rendah, bolehlah baca satu ayat dengan yakinnya. Dari satu ayat jadi satu perenggan. Akhirnya jadi karangan yang tidak lebih 120 patah perkataan. Aku masa ini tak ada banyak benda nak buat; tak macam sekarang, ada je benda nak buat.

Balik, balik main sep tiang.
Main galah panjang.
Kejar-kejar belalang.
Main laga-laga semut, ikan laga.
Konda-kondi sebelum tunggu bas.
Dan banyak lagi...

Semuanya, aku rasa seronok sehinggalah ada cikgu disiplin panggil aku suruh pakai baju warna biru. Baju pengawas. Mula-mula aku suka jadi pengawas sebab pakai kasut hitam dan pakai tie. Kira segak la, kononya. Pakai kasut hitam agak senang bagi aku. Sebulan sekali basuh kasut, tak macam kasut putih. Tapi jawatan pengawas meragut masa kanak-kanak aku.

Sebab apa?

Dulu hadiah paling mahal aku terima dari ayah aku adalah sebuah basikal. Setiap kali, aku pulang dari sekolah aku selalu berlumba dengan kawan aku. Sehinggalah kejadian aku terlanggar budak perempuan yang cewek dan kaki report. Aku dipanggil oleh guru disiplin merangkap penaung badan pengawas. Menegur aku, tingkah laku aku sebagai seorang pengawas.

Aku terpaksa kawan sikap aku, atas sebab aku tak mahu membasuh kasut putih setiap minggu. Akhirnya, aku masuk sekolah menengah dan aku menyimpan satu kata-kata, "Aku benci pengawas!".

Sekolah menengah ini terbahagi kepada 2; Rendah dan Tinggi.

Masa menengah rendah ini, aku tak fikir sangat pasal pengawas. Balik-balik muka ini yang akan periksa pakaian aku. Samada aku memakai lencana yang telah di jahit, bukan main tampal-tampal. Periksa samada aku pakai stoking ke tidak. Tag nama. Aku perasan masa waktu ini, pengawas ini suka bergaul dengan pengawas je. Aku fikir, status mereka akan jatuh andaikata mereka berkawan dengan orang biasa. Masa ini juga aku kenal-kenal istilah 'kaki report'.

Aku selalu ditangkap tidur ketika waktu prep (studi). Banyak kali aku menghadap pengawas-pengawas menengah tinggi. Menegur sikap aku yang suka tidur ketika waktu belajar. Paling yang aku tak boleh terima, ada pengawas membuat laporan yang aku balik lambat ke asrama atas sebab aku tengok final World Cup antara Brazil dan German.

Aku kena ketuk ketampi lebih 500. Gegar lutut. Aku benci pengawas.

Sekolah menengah tinggi.

Ini waktu aku tahu beberapa pengawas yang talam muka. Pengawas yang jadi baik depan guru-guru dan sebarang aktiviti terjah telah diketahui lebih awal. Pengawas macam ini, memanglah tali barut dalam badan pengawas itu sendiri. Tapi banyak peristiwa pengawas ini memberi respon positif pada aku.

Sekarang aku neutral terhadap pengawas. Aku dah keluar dari zaman-zaman melihat ada orang sebaya aku tapi ada kuasa lebih. Boleh periksa kocek aku samada aku bawa pisau Rambo atau side-burn aku ala-ala Elvis Presley.

Cabaran lebih besar adalah aku sekarang bakal berdepan dengan polis.

Lain kali bawa motor pakailah helmet. Tapi kalau helmet kena curi, macam mana? Nasib baik aku tak ditahan hari itu.

Kebosanan mencipta kelainan.

Sabtu, November 21, 2009

Tuan blog ini hilang sekejap.

A'ah.

Aku dah isytiharkan diri 'un-available' sehingga waktu yang tidak ketahui. Tapi, kamu tetap akan diberi seleksi bacaan untuk hari seterusnya.

Blog01

Blog02

Untuk paparan lebih jelas, KLIK.

Entri-entri yang lepas pun, aku buat begini.


Aku dah tak bosan sebenarnya, Adakah aku patut menukar tema blog ini?

PS: Selamat membaca, kalau ada komen untuk aku, akan di cuba untuk dibalas.

Kebosanan mencipta kelainan.

Khamis, November 19, 2009

9 nafsu, 1 akal. 9 akal, 1 nafsu. 9 emosi, 1 akal?

[Beberapa minggu yang lepas...]

Semua orang dah tahu, lelaki ada satu nafsu ada 9 akal. Dan terbaliklah kisahnya bila untuk perempuan. 9 nafsu, dan 1 akal.

Angkanya antara 9 dan 1. Tapi huraiannya panjang. Ada pendapat itu hanya sebagai metafora nombor. 9 itu banyak dan 1 itu sikit. Tapi kenapa 9, bukan 10, 100 atau seribu? Itu pandai-pandai pikir sendiri, bukan?

AT07-Darling Park, Sydney.
Gambar lama dalam komputer lama. Nak buang dah ni.


Ini telah menjadi perbincangan antara 2 lelaki yang statusnya hanya pelajar kejuruteraan, bukan mengambil psikologi mahupun mempunyai cita-cita hendak menjadi pakar sakit puan. Dan kedua-dua mempunyai masalah yang bakal dihadapi bila memikirkan alam perkahwinan: menemani isteri ketika bersalin.

Ini akibat menonton filem 'Knocked Up'. Tengoklah, samada kau dah bersedia belum untuk menemani bini kau meraung kesakitan bersalin.

Huraian 9 nafsu dan 1 akal oleh kami mungkin agak pelik untuk di tulis dalam artikel-artikel majalah seperti Dara.com, atau Wanita, Perempuan dan macam-macam lagi. Adakala baiknya hanya disini.

Merujuk 9 nafsu, kiranya nafsu ini ada kaitan dengan emosi/perasaan. Kalau secara tepat nak menunjukkan nafsu adalah nafsu, agak macam boleh menimbulkan kesangsian. Dulu aku ingat bila aku dengar ayat 9 nafsu 1 akal, secara automatis kaum wanita dahagakan seks gila-gila. Maka, nak merungkai salah faham dalam otak aku, aku ambil keputusan 9 emosi dan 1 akal. Ok tak? Kalau tak setuju, peduli apa.

Hasil-hasil borak-borak kosong:

Kami memang setuju perempuan ini mempunyai 9 emosi (kalau nak sangat ayat nafsu, tukar je lah). Sebab apa? Perempuan ini kena faham-fahamlah. Mereka ini makhluk yang suka ambil berat pasal orang lain. Sebab itu masa kerja melukis lakaran skru pun boleh fikir kenapa Robert Pattison hensem sangat. Berlainan dengan lelaki, bila kerja: senyap. Senyap, tak faham baru tanya. Kalau tanya, mungkin itu simbol lemah. Sebab itu bila lelaki bertanya benda yang tidak tahu, dia bernada senyap. Perhatikan je dalam kelas.

Pemikiran logik dan fikir memang aku akui itu sinonim dengan lelaki. Sebab banyak kali aku berhadapan dengan situasi mengenai kejuruteraan (banyak melibatkan pemikiran logik), memang agak fed-up bila ada perempuan dalam satu kumpulan. Mesti pernah dengar satu fakta, kebiasaannya perempuan tak boleh membaca pelan 2 dimensi?

Kenapa peta-peta seperti peta perjalanan ke Myeong Dong atau Bandaraya Kuala Lumpur ada lukisan bangunan-bangunan yang begitu comel dan berwarna-warni. Ini diciptakan khas untuk kaum perempuan!

Lelaki pun sama sahaja. Sebab perkataan nafsu dalam '9 akal, 1 nafsu'. Rasanya tak payahlah ubah. Sebab itu memang betul-betul adalah nafsu. Mereka ini kaum yang tak fikir banyak dalam perkara berkaitan dengan emosi. Dan nafsu itu berkaitan dengan nafsu yang kamu tahu apa maknanya.

Cara nak bunuh lelaki dengan senang adalah melintaskan perempuan bogel didepan mata. Dalam 3 saat, kamu boleh tusuk pisau pada mana-mana bahagian badan lelaki tersebut.


Aku pun tak faham apa aku tulis. Yelah kan, dah namanya pun sembang rambang.

Pokoknya, aku mahu katakan:


Exam memang tak best!

PS: Perbualan ini berlaku dalam minggu peperiksaan.

Kebosanan mencipta kelainan.

Selasa, November 17, 2009

Bantal Busuk

Aku masih tak faham kenapa orang memangggil bantal busuk, sedangkan bau pun agak wangi.

Tapi, aku faham kenapa sekarang kenapa orang memanggil bantal busuk. Sebabnya bila kau tidur meniarap, air liur ketika tidur terkeluar secara tak sengaja. Hasilnya, bila bangun tidur ada tompokan-tompokan yang unik sekali wujud. Kelamaan-lamaan akan menjadi lebih terang. Akibat pengoksidaan cecair air liur. Lama-lama semakin coklat.

Lepas itu, berbangga. "Woi, aku jumpa satu pulau kecil,". Dah jadi macam pelayar lama-lama. Jumpa dan lukis peta.

Binatang 01
Aku ada sebab kenapa aku tak suka teddy bear atas katil aku.


Sebabkan membeli bantal untuk bertukar-tukar setiap malam adalah perkara yang rumit, si pembuat peta tadi mengambil keputusan hanya menukar sarung bantal. Lepas menukar sarung bantal, si pembuat peta cium semula bantal tersebut.

"Wangi gak bantal ni," lepas itu berterusan memakai bantal tersebut hingga ke malam seterusnya.

Malam pada hari yang lain pula...

Sekali lagi peristiwa penjelajahan berlaku yang mengakibatkan penemuan pulau terbaru. Pemetaan pun akan dilakukan sejurus selepas itu. Keesokan paginya, disebabkan malas hendak menukar sarung bantal (walaupun tidak sesukar menukar seluar dalam), dia membiarkan sahaja bantal tersebut.

Esok malamnya, berlaku lagi dan lagi. Akhirnya bantal itu memang mengeluarkan bau yang kurang enak. Bila nak masuk tidur, memang tabiat manusia suka cium benda yang tahu busuk (macam cium stoking selepas dipakai), dia cium bantal. Selepas itu, membuat reaksi muka yang kurang selesa.

"Ala, bantal nak tidur je pun," Maka, ditepuk bantal itu berulang kali. Dengan harapan bahawa bau itu akan hilang dan bantal itu akan menjadi lebih empuk lagi.

Letaklah kepala dia di atas bantal. Sambil nak tidur menghitung hari, "Bilalah nak tukar bantal ni,"

Fikir-fikir. Dah genap hampir 4 tahun bantal ini menjadi teman tidur. Sebab itu disebut bantal busuk. Busuk-busuk pun, kita sayang. Kita tepuk-tepuk tiap malam.

Kenapa aku tak suka ada patung yang kiut-kiut atas katil aku? Sebab aku takut nanti patung itu hidup dan cekik aku sampai mati. Pernah tengok cerita Chucky?


Kebosanan mencipta kelainan.

Ahad, November 15, 2009

Apa nak buat cuti kali ni?

Aku tengah memikirkan apa patut aku buat untuk cuti musim sejuk yang kedua terakhir ini.

Aku tak nak duduk depan skrin LED, sambil ditemani pemanas yang panas, sambil badan aku berkelubung dalam selimut.

Tak mahu sebegitu!

Check Your Bill!

Bil gas akan melambung tinggi ketika musim sejuk. Aku tak kisah, sebab aku duduk asrama. Free.


Perkara yang bakal berlaku bila cuti musim sejuk kali ini:

1. Menerima pelawaan budak Korea University pergi ke Jepun selama seminggu.
2. Duduk di rumah Anas. Makan makanan halal.
3. Mengambil kelas sesi musim sejuk (saja-saja. Nak cepat grad, kononnya)
4. Download Gilmore Girl 7 siri, tengok sampai muntah.
5. Beli kayu pool, main di kedai 'bos'. Training kot.
6. Ikut trip kecil-kecilan ke mana-mana pusat peranginan ski.

Jangan paksa aku balik Malaysia, ok! Aku akan balik Malaysia bila penaja aku suruh balik, hal serius atau sudah bergraduasi.

Kebosanan mencipta kelainan.
Blog Widget by LinkWithin